Kerajaan akan terus sokong industri kreatif melalui MyCreative, CENDANA dan RIUH

Astro Awani
September 11, 2021 00:50 MYT
Tan Sri Annuar Musa berkata, cabang pelaburan kerajaan itu akan dapat membantu membaik pulih masa depan industri kreatif negara. - Gambar Twitter @Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menyokong industri kreatif melalui MyCreative Ventures (MyCreative) serta unit di bawahnya, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan RIUH.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, cabang pelaburan kerajaan itu akan dapat membantu membaik pulih masa depan industri kreatif negara.
"Pihak kerajaan dan kementerian akan terus memberikan sokongan penuh kepada sektor kreatif dengan meletakkan sasaran yang signifikan untuk menjadikan industri kreatif negara kita sebagai sebahagian penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan ke MyCreative, CENDANA dan RIUH bagi membincang dan memahami cabaran yang dihadapi pengusaha dan pekerja kreatif serta sebagai tanda keprihatinan
dalam membantu menyelesaikan masalah membelenggu industri kreatif termasuk 10 subsektor di bawahnya.
Tambahnya, industri kreatif adalah salah satu sektor industri yang paling banyak terkesan sejak pandemik COVID-19 bermula.
"Tetapi memandangkan negara kita kini sedang beransur ke fasa pemulihan, pekerja industri kreatif badan-badan persatuan dan agensi, serta pihak kementerian mahu memastikan ekosistem kreatif negara kita kembali aktif seiring dengan hasrat kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN)," ujarnya.
MyCreative ditubuhkan pada tahun 2012 di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan kini juga berada di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sejak tahun 2019.
Ia merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap yang lebih tinggi menerusi pelaburan kewangan strategik dan inovatif sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.
Program di bawah MyCreative meliputi 10 subsektor kreatif iaitu penciptaan kandungan (termasuk
filem, kandungan penyiaran dan penstriman dan permainan video), muzik, fesyen, seni persembahan,
seni visual, sastera, seni tradisional dan kebudayaan, seni kulinari, reka bentuk dan pendidikan kreatif.

KKMM yakin yang MyCreative Ventures, CENDANA dan RIUH akan terus membantu mencorakkan masa depan industri kreatif. Kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada sektor kreatif dengan meletakkan sasaran yang signifikan untuk menjadi sebahagian penyumbang kepada KDNK negara. pic.twitter.com/ExEhMBQQqp

— Annuar Musa (@AnnuarMusa) September 11, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#industri kreatif #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #KKMM #Pelan Pemulihan Negara #Tan Sri Annuar Musa #Twitter #PPN #COVID-19 #ekonomi #pandemik #pelaburan #Malaysia #Keluaran Dalam Negara Kasar #KDNK #Kementerian Kewangan
;