Kerajaan akan terus pantau tindakan waris Sulu - Armizan

Abdul Hafiz Mustadi
Februari 19, 2023 17:51 MYT
Jelas Armizan kerajaan akan terus memantau dan mempertahankan aset Petronas bagi memelihara kedaulatan negara. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Tindakan waris Kesultanan Sulu mendapatkan perintah sita baharu daripada Mahkamah Luxemborg pada Selasa untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang diperolehi terhadap aset kerajaan Malaysia akan diambil tindakan sewajarnya oleh Petronas.
Jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak Dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, kerajaan akan terus memantau perkara tersebut selain menyatakan pendirian kerajaan untuk mempertahankan aset terbabit bagi memelihara kedaulatan negara.
"Sebenarnya apa yang dilakukan ini (tindakan waris Sulu) dia melibatkan satu perkara yang bersifat sivil.
"Kerajaan sentiasa memantau dan Petronas sendiri, oleh kerana ia melibatkan aset korporat iaitu Petronas, Petronas akan melaksanakan perkara yang perlu.
"Di peringkat kerajaan kita sentiasa mengambil pendekatan untuk mempertahankan, memastikan kepentingan dan kedaulatan kita itu dapat dipelihara. Kita akan memantau perkara ini", ujar Armizan ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat Dan Penganugerahan Pingat APM Sabah di sini pada Ahad.
Terdahulu, Mahkamah Luxemborg pada Selasa mengeluarkan perintah sita terbaharu terhadap dua aset Petronas iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) and Petronas South Caucasus.
Malaysia yang tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di mahkamah terbabit bertegas dengan pendirian bahawa tuntutan tersebut sebagai tidak sah.
#Petronas #Sulu #Mahkamah Luxemborg #Datuk Armizan Mohd Ali
;