Kerajaan akan terus bela nasib rakyat meskipun banyak tohmahan dilemparkan - Tengku Zafrul
Ridauddin Daud
November 24, 2020 16:23 MYT
November 24, 2020 16:23 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan terus membela nasib rakyat meskipun banyak tohmahan bukan-bukan dilemparkan kepada Perikatan Nasional (PN) sejak kebelakangan ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Abdul Aziz berkata, kritikan itu dilihat semakin kedengaran lebih-lebih lagi menjelang hari pengundian kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 26 November ini.
Sehubungan itu, beliau memohon rakyat menilai sendiri komitmen kerajaan yang melaksanakan pelbagai pakej rangsangan bagi memulihkan ekonomi sejak beberapa bulan lepas.
“Saya mohon tuan-tuan dan puan-puan menilai sendiri komitmen kerajaan yang terserlah melalui empat pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan dalam hanya lapan bulan.
“Ia telah memanfaatkan berjuta keluarga, rakyat dan beratus ribu perniagaan. Malah, kita semua telah menerima manfaat, secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-30 secara maya pada Selasa.
Tambah Tengku Zafrul, semua inisiatif disediakan kerajaan disalurkan kepada seluruh rakyat, pekerja dan majikan tanpa mengira bangsa atau agama.
“Sesiapa saja boleh memohon, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Orang Asal, Kadazan atau mana-mana rakyat Malaysia.
“Ini adalah sebahagian daripada agenda kerajaan untuk menjamin setiap rakyat dapat mengecapi hasil pembangunan negara, selaras dengan semangat kemakmuran bersama menerusi Belanjawan bagi tahun 2021,” ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, beliau yakin kerajaan akan meletakkan negara di landasan yang betul pada masa depan.
#Tengku Zafrul
#Menteri Kewangan
#LAKSANA
#PENJANA
#laporan
#Dewan Rakyat
#ekonomi
#kerajaan
#Melayu
#Cina
#India
#rakyat
#rakyat Malaysia
#menteri
#bantuan
#sumbangan
#peruntukan
#Belanjawan 2021
#Belanjawan
#bajet