Kerajaan akan terbit laporan statistik gaji setiap suku tahun - Rafizi

Madiha Abdullah
Jun 13, 2023 14:17 MYT
Rafizi berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan, selepas mendapat kelulusan daripada Kabinet. -Astro AWANI / SHAHIR OMAR
SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan akan mula menerbitkan Laporan Statistik Gaji dan Upah Jabatan Perangkaan Negara setiap suku tahun sebagai sebahagian daripada langkah untuk membawa perhatian masyarakat terhadap isu jurang gaji.
Kata Rafizi, ini akan membolehkan golongan majikan dan pekerja menjadi lebih sensitif terhadap permintaan pasaran buruh, sekali gus menangani isu pengangguran.
"Sebelum kita memperincikan sama ada gaji cukup atau tidak, kita secara kasarnya tahu bahawa terdapat cabaran ekonomi untuk menaikkan gaji pada kadar yang membolehkan ia menyaingi kos sara hidup.
"Terdapat dua sisi yang sama apabila kita cakap tentang kos sara hidup. Sementara kita beri tumpuan untuk kekang inflasi, kita tumpu kepada membina kapasiti makanan dan perbekalan supaya harga tak naik cepat, kita kena juga tumpu kepada soal menaikkan gaji," katanya.
Jelasnya, statistik itu penting bagi membolehkan semua pihak memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam ekonomi, kerana polisi yang dihasilkan tanpa kefahaman akan menyukarkan perubahan dasar dilakukan.
Tambahnya lagi, statistik itu juga diharapkan akan membantu masyarakat dan ekonomi untuk memberi tumpuan kepada isu gaji, selain menjadi penanda aras dalam kerja pasaran terbuka serta membantu mekanisma pasaran menjadi lebih berdaya saing.
Rafizi berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan, selepas mendapat kelulusan daripada Kabinet.
“Data sudah ada. Bagaimanapun, saya perlu membentangkannya kepada Kabinet dahulu dan menunggu ketua perangkaan pulang dari haji,” ujarnya.
Laporan itu termasuk bilangan individu yang bekerja dan gaji median berdasarkan kategori pekerjaan, kumpulan umur dan pencapaian pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan buku Panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023 dan Aplikasi Belanjawanku di Shah Alam, pada Selasa.
Mula diperkenalkan pada 2019 untuk penduduk Lembah Klang, Panduan Belanjawanku telah diperluaskan untuk meliputi 11 lagi bandar utama di seluruh negara.
Aplikasi Belanjawanku, yang dibangunkan sendiri oleh KWSP pula, mengandungi ciri interaktif untuk pengguna memantau perbelanjaan mereka secara dalam talian.
Pengguna boleh memilih untuk menggunakan panduan Belanjawanku atau kaedah biasa bagi memantau perbelanjaan bulanan mereka.
Sehingga Mei 2023, aplikasi Belanjawanku telah merekodkan sebanyak 12,000 jumlah muat turun.
#gaji #Rafizi Ramli #isu pengangguran #suku tahun
;