Kerajaan akan sentiasa teliti kebenaran teruskan perniagaan - Mohd Redzuan

Astro Awani
Februari 11, 2021 23:36 MYT
Mohd Redzuan membuat tinjauan ke Pavilion selepas MKN membenarkan restoran beroperasi secara dine-in. - Gambar MKN
KUALA LUMPUR: Kebenaran restoran dan kedai makan beroperasi secara dine-in atau makan di kedai yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan sentiasa diteliti dari semasa ke semasa demi membantu meningkatkan ekonomi negara terutama ketika pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia amat penting bagi menjaga kebajikan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan demi mencegah jangkitan wabak ini terutama ketika kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA: KPDNHEP beri amaran jangan salah guna kebenaran makan di restoran
BACA: PKP 2.0: Boleh makan di restoran mulai 10 Feb - Ismail Sabri
Terdahulu, Mohd Redzuan membuat tinjauan ke Pavilion selepas MKN membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi secara dine-in serta pembukaan beberapa sektor perniagaan peruncitan dengan SOP ketat berkuat kuasa 10 Februari 2021.
Beliau membuat tinjauan dan bertanya khabar pekerja di sekitar kedai makan dan butik-butik untuk mendapatkan perkembangan setelah pengumuman dibuat dua hari yang lalu.
Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.
Selain itu, Mohd Redzuan turut mengambil peluang untuk menyaksikan tayangan Golden Bull 3D yang menjadi simbolik pencegahan COVID-19 di pintu masuk utama Pavilion.
#perniagaan #restoran #Kedai makan #dine in #MKN #COVID-19 #Mohd Redzuan Md Yusof #perintah kawalan pergerakan #PKP
;