Kerajaan akan sentiasa kaji skim pencen demi kepentingan rakyat Tun Mahathir

Adie Sufian Zulkefli
September 10, 2019 16:16 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas merasmikan majlis Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di salah sebuah hotel terkemuka hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan skim pencen menimbulkan masalah dan perlu dikaji semula untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.
Katanya, antara masalah tersebut adalah apabila pembayaran pencen yang jumlahnya sudah berbeza daripada dahulu.
“Umpamanya orang yang pencen 20 tahun dulu dapat pencen sebanyak daripada gaji terakhir dulu. Cuma pegawai tinggi dapat tidak lebih daripada RM6,000, RM7,000 gaji terakhir jadi dia dapat pencen RM3,000 sampai sekarang ni.
“Tetapi orang bersara sekarang ini, pegawai kerajaan sudah dapat gaji sebanyak sampai RM20,000 gaji terakhir adalah RM10,000. Jadi yang bersara sekarang ini pencen dia RM10,000. Yang bersara 20 tahun lalu kekal RM2,000-RM3,000 macam itulah tetapi kos sara hidup sudah meningkat jadi semua ni masalah yang kita perlu kaji sepanjang masa sebab kita hendak jaga kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di Alor Setar, pada Selasa.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.
Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.
Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, pihaknya masih tidak membincangkan mengenai
cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah Skim Tetap dan Berpencen.
#Alor Setar #Borhan Dolah #Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam #Konvensyen Padi Kebangsaan #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #persaraan #skim pencen
;