Kerajaan akan pinda undang-undang untuk kenderaan tanpa pemandu

Khalis Khadir
September 9, 2024 15:20 MYT
Anthony Loke (tiga, kanan) dan Gobind Singh Deo (dua, kiri) mengikuti demonstrasi penggunaan bas autonomi 5G di Pusat Futurise, Cyberjaya pada Isnin.
CYBERJAYA: Kerajaan akan meminda undang-undang baharu untuk mengawal selia kenderaan autonomi (AV) di jalan raya sejajar dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam sektor pengangkutan awam.

Ringkasan AI
  • Kerajaan akan meminda undang-undang untuk mengawal selia kenderaan autonomi (AV) di jalan raya bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan sebelum dikomersialkan.
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyaksikan demonstrasi bas autonomi 5G di Pusat Futurise dan menyatakan bahawa pindaan undang-undang diperlukan untuk membolehkan bas tanpa pemandu beroperasi.
  • Kerjasama antara Digital Nasional Berhad (DNB), Ericsson, dan eMooVit Technology Sdn Bhd bertujuan meningkatkan keselamatan penumpang bas elektrik autonomi, dengan pengujian melibatkan sambungan Wi-Fi awam, pemantauan jarak jauh masa nyata, dan pengumpulan log perjalanan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, dasar tersebut penting bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan kenderaan tanpa pemandu itu sebelum ia dikomersialkan.
“Sekarang kita perlu lihat kepada perundangan sebab semua tahu kalau di Malaysia belum ada peruntukan sedemikian, contohnya jika mahu bawa bas perlu ada lesen PSV.
“Maka bila ada bas tanpa pemandu, kita perlu buat pindaan undang-undang dan itu boleh diuruskan kerana kementerian kita bersifat terbuka,” katanya selepas menyaksikan demonstrasi penggunaan bas autonomi 5G di Pusat Futurise, di sini, pada Isnin.
Turut hadir dalam program itu ialah Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro; serta Ketua Pegawai Eksekutif eMooVit, Hairi Zamzuri.
Ia antara inisiatif Digital Nasional Berhad (DNB) bersama Ericsson dan eMooVit Technology Sdn Bhd bertujuan meningkatkan keselamatan penumpang bas elektrik autonomi.
Kerjasama itu terjalin menerusi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada Mei lalu yang masih dalam tempoh pengujian.
Ia melibatkan percubaan bukti konsep seperti sambungan Wi-Fi awam dalam kenderaan, pemantauan jarak jauh masa nyata serta pengumpulan log perjalanan.
Jelas Anthony, bas elektrik tanpa pemandu menggunakan teknologi 5G itu sedia beroperasi di Cyberjaya dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan menerusi pindaan undang-undang nanti.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan langkah itu mendapat sokongan kerajaan kerana negara tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi.
“Setakat ini Malaysia belum ada undang-undang ke arah isu tersebut jadi kita perlu lihat negara luar sebagai contoh untuk menggubal dasar.
“Kita telah beri kelulusan POC untuk bas ini supaya ia dapat bergerak ke hadapan. Sudah tentu perlu banyak kajian dari segi teknikal dan penilaian JPJ supaya ia dapat beroperasi di jalan raya,” ujarnya.
#Bas Autonomi #kenderaan tanpa pemandu #Anthony Loke #AV
;