Kerajaan akan pinda permohonan PSV untuk OKU - Anthony Loke

Wan Syamsul Amly
Mac 31, 2019 17:30 MYT
Golongan OKU tidak perlu risau dengan peraturan baharu permohonan lesen PSV yang akan dikuatkuasakan mulai 12 Julai ini.
Pindaan terhadap permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) akan dibuat untuk membela golongan orang kelainan upaya (OKU) yang menjadi pemandu e-hailing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, golongan OKU juga tidak perlu risau dengan peraturan baharu permohonan lesen PSV yang akan dikuatkuasakan mulai 12 Julai ini.
"Ada isu pemandu OKU, kita faham ada undang-undang yang tidak benarkan permohonan PSV untuk mereka.
"Saya sudah berjumpa pemandu OKU ini, kita akan pinda undang-undang ini. Mesej saya, jangan risau, kita sokong hak OKU, kita sokong hak mereka untuk mencari pendapatan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter di sini, pada Ahad.
BACA: Daftar lesen e-hailing bermula 1 April - JPJ
BACA: Pemandu e-hailing mesti daftar lesen PSV mulai tahun depan - Anthony Loke
Sebelum ini, syarikat-syarikat e-hailing dikehendaki mematuhi peraturan khusus untuk perkhidmatan berkenaan bermula 12 Julai nanti.
Pemandu-pemandu dikehendaki mematuhi empat syarat utama yang telah dipersetujui, iaitu pemeriksaan Puspakom untuk kenderaan berusia tiga tahun ke atas, menjalankan pemeriksaan kesihatan, memiliki insurans kenderaan dan memiliki lesen PSV.
Isu itu menimbulkan kerisauan kepada OKU yang dikatakan menerima kesan terbesar memandangkan mana-mana pemandu OKU yang hanya memiliki lesen memandu kelas A dan A1 secara automatik tidak dibenarkan lagi untuk memandu Grab.
Hal ini disebabkan oleh syarat pemilikan lesen PSV yang melarang pemandu yang mempunyai masalah kesihatan seperti pekak, buta warna, pergerakan yang terhad dan kencing manis.
Bagaimanapun, pemandu-pemandu OKU yang memiliki lesen memandu CDL (kelas D dan DA) masih lagi dibenarkan untuk memohon menjadi pemandu Grab dengan syarat melepasi had rekod kesihatan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
#JPJ #lesen PSV #OKU #orang kelainan upaya #pemandu OKU #permohonan lesen psv #PSV #undang-undang
;