Kerajaan akan penuhi obligasi hutang 1MDB berjumlah RM211.3 juta

Bernama
Oktober 9, 2018 20:25 MYT
GUAN ENG: Kerajaan tidak akan membenarkan Malaysia untuk ingkar dan hutang berkenaan adalah ditanggung Malaysia. -Gambar fail
Kerajaan akan memenuhi obligasi membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM211.3 juta, yang bertarikh akhir 18 Okt, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, langkah kerajaan untuk membayar secara segera dan tanpa mengingkari obligasi hutang itu akan mengekalkan penarafan kredit antarabangsa Malaysia.
"Kerajaan tidak akan membenarkan Malaysia untuk ingkar dan hutang berkenaan adalah ditanggung Malaysia.
"Kita sudah pasti membayarnya, memenuhi komitmen undang-undang, komitmen sah yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kita tidak akan ingkar," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Malaysia: Harapan Baharu Pelabur di sini, hari ini.
Lim juga berkata, kerajaan juga telah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara.
"Kita tidak akan mengingkarinya kerana jika berbuat demikian ia akan menyebabkan penarafan antarabangsa kita diturunkan," katanya.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Bhd #1MDB #komitmen undang-undang #Lim Guan Eng #obligasi membayar hutang #penarafan kredit antarabangsa
;