Kerajaan akan pelihara negara, rakyat daripada konflik perkauman - PM Anwar

Bernama
April 13, 2023 12:04 MYT
Kerajaan akan berusaha memelihara negara dan rakyat daripada terjerumus dalam kancah konflik perkauman sempit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha memelihara negara dan rakyat daripada terjerumus dalam kancah konflik perkauman sempit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkongsian di laman Facebooknya, beliau berkata kerajaan juga akan meletakkan noktah terhadap usaha pihak yang menggunakan politik identiti untuk memecah-belahkan masyarakat.
"Kunci kepada perpaduan kaum yang kita kecapi selama ini adalah saling menghormati, yang menjadi salah satu unsur penting dalam membangunkan Malaysia MADANI," menurut catatan itu.
Bersempena sambutan Hari Songkran, Anwar menyeru seluruh masyarakat keturunan Siam untuk bersama-sama rakyat Malaysia yang lain bersatu hati serta berkongsi tujuan dan tekad di samping mengekalkan perpaduan dan kerjasama bagi membangunkan negara.
"Dengan itu, kita akan sama-sama membawa Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera. Selamat menyambut Perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia," katanya.
Songkran, yang terkenal sebagai festival air, adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Malaysia Madani #konflik perkauman sempit #Hari Songkran