Kerajaan akan pastikan SOP sukan berisiko tinggi sentiasa dipatuhi - Adam Adli

Ridauddin Daud
Mac 4, 2024 13:29 MYT
Menurut Adam Adli, setakat ini pihaknya tidak mahu meletakkan kesalahan terhadap mana-mana pihak mengenai perkara yang terjadi itu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan setiap penganjur sukan berisiko tinggi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin bagi respons terhadap insiden menimpa atlet silat, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang meninggal dunia ketika menyertai pertandingan di Negeri Sembilan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak mahu meletakkan kesalahan terhadap mana-mana pihak mengenai perkara yang terjadi itu.
“Dalam peringkat awal, sekarang, kita sedang menunggu siasatan terutama sekali dari PESAKA (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia).
“Setakat sekarang kita tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, dari sudut untuk memastikan insiden sebegini tidak lagi berulang. Kita harus pastikan setiap penganjur mematuhi SOP.
“Yang ini perlu diselaraskan dengan Pesuruhjaya Sukan dan kita turut melancarkan Kod Sukan Selamat yang merangkumi kebertanggungjawaban oleh pihak penganjur dalam memastikan pematuhan SOP, penyediaan ruang yang selamat serta memastikan bahawa risiko ini ada cara untuk kita tangani,” katanya.
Tambah Adam Adli, pihaknya juga akan memastikan kerjasama lebih rapat dengan Majlis Sukan Negeri selepas ini agar setiap SOP berkaitan penganjuran sukan berisiko tinggi dipertingkatkan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai usaha kementerian agar insiden seperti itu tidak berulang kembali.
#Adam Adli Abd Halim #KBS #atlet silat #meninggal dunia #SUKMA #Wan Muhammad Haikal Wan Hussin
;