Kerajaan akan pastikan Malaysia Airlines buat 'comeback'

Umavathi Ramayah
September 3, 2024 18:59 MYT
PM Anwar berkata, sejarah membuktikan keputusan politik melibatkan kroni-kroni yang tidak telus telah menjahanamkan syarikat yang menjadi kebanggaan dan memberi bebanan kepada kerajaan sehingga hari ini. - Foto Astro AWANI/Fitri Zainuri
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk menyelamatkan Malaysia Airlines dalam apa jua keadaan dan akan memastikan syarikat penerbangan negara itu membuat comeback," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sejarah membuktikan keputusan politik melibatkan kroni-kroni yang tidak telus telah menjahanamkan syarikat yang menjadi kebanggaan dan memberi bebanan kepada kerajaan sehingga hari ini," menurut beliau.
Menurut PM Anwar, beberapa keputusan terdahulu telah menyebabkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan kerajaan terpaksa menanggung beban.
"Bukan maksud saya untuk membongkar kelemahan-kelemahan yang lalu, tetapi dalam soal Malaysia Airlines... harus saya tahu, kadang-kala keputusan politik atau negara yang tidak telus, memberi peluang kepada satu, dua kroni menjahanamkan suatu syarikat yang dibanggakan.
"Keputusan yang dibuat (itu adalah) dengan niat untuk mempertahankan beberapa kroni dengan meminggirkan rakyat dan negara. Usaha memulihkan itu sudah dimulakan tapi akan mengambil masa.
"Kerajaan komited dalam memastikan kejayaan syarikat penerbangan berkenaan kerana ia adalah syarikat penerbangan nasional, dan ia perlu kembali sebagai syarikat penerbangan utama," kata beliau dalam ucapan sambutan ulang tahun Khazaah ke-30 di sini, pada Selasa.
PM Anwar turut berkata, isu membabitkan Malaysia Airlines dibincangkan hampir setiap minggu dalam mesyuarat Kabinet.
Malaysia Airlines sebelum ini menanggung kerugian besar, namun dalam perkembangan terbarunya, MAHB yang juga pengendali lapangan terbang negara mengumumkan mencatat keuntungan bersih RM205.80 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun lalu.
Keuntungan diraih itu melonjak sekali ganda daripada RM102.53 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan 2023.
#Malaysia Airlines #Anwar Ibrahim #Khazanah #syarikat penerbangan utama Malaysia Airlines