Kerajaan akan pantau KPI operator air setiap negeri

Afiezy Azaman
Januari 17, 2024 08:45 MYT
Menurut Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pengguna dijangka menerima manfaat melalui tahap perkhidmatan bekalan air yang lebih baik daripada operator masing-masing.
PUTRAJAYA: Operator air di setiap negeri dikehendaki meningkatkan usaha masing-masing bagi menangani isu semasa yang dihadapi dengan menggunakan pendapatan tambahan yang akan diperoleh.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memantau prestasi operator air daripada segi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelaksanaan projek perbelanjaan modan yang dirancang bagi pembangunan infrastruktur sistem bekalan air.
Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pengguna dijangka menerima manfaat melalui tahap perkhidmatan bekalan air yang lebih baik daripada operator masing-masing.
Katanya, melalui pelarasan tarif bagi kategori domestik, operator air di setiap negeri masing-masing akan menjana pendapatan tambahan untuk membolehkan mereka menampung keperluan perbelanjaan operasi dan seterusnya melaksanakan pembangunan infrastruktur sistem bekalan air.
Jelasnya, kelestarian perkhidmatan bekalan air berkait rapat dengan keupayaan kewangan di peringkat operator air kerana dengan kewangan yang mencukupi, maka operator mempunyai keupayaan melaksanakan obligasi terutamanya dalam menangani isu dalam membekalkan air.
"Sebagai contoh, isu utama yang dihadapi oleh pembekal perkhidmatan bekalan air di negeri Kelantan adalah untuk mematuhi piawaian kualiti air minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan melalui pelarasan tarif ini, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertanggung jawab untuk membuat perancangan yang teliti supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan.
"Seterusnya, masalah utama di negeri Kedah adalah isu tekanan air dan melalui rekod SPAN, rizab margin adalah sifar yang mengakibatkan permintaan pembekalan air tidak dapat dipenuhi.
"Dalam hal ini, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) perlu ada perancangan untuk meningkatkan rizab margin ke arah mencapai rizab margin 15 peratus sebagaimana ditetapkan oleh SPAN dalam KPI melalui pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baru dan menaiktaraf LRA sedia ada," katanya semasa sesi bersama media di Putrajaya, pada Selasa.
Pada Rabu, SPAN mengumumkan pelarasan kadar tarif air bagi pengguna kategori domestik di seluruh semenanjung dan Labuan yang akan berkuatkuasa mulai 1 Februari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, operator air di negeri lain juga perlu membuat perancangan untuk menyelesaikan isu secara spesifik di negeri masing-masing seperti aspek menangani isu pencemaran, respon dan penyelesaian aduan serta mengatasi isu gangguan bekalan air.
Tambah beliau, kerajaan juga telah membuat keputusan berhubung pelaksanaan pelarasan tarif untuk kategori domestik serta pelepasan surcaj tenaga melalui kadar tarif air yang dikenakan kepada pengguna.
Selain itu, pelepasan surcaj tenaga ini akan turut terpakai bagi tarif perkhidmatan pembetungan bersambung dan surcaj tenaga akan dilepaskan kepada semua kategori pengguna.
"Dengan pelaksanaan pelarasan tarif untuk kategori domestik serta pelepasan surcaj tenaga ini, semua pengguna dijangka akan mengalami peningkatan bil air bulanan yang munasabah.
"Walau bagaimanapun, bagi meminimumkan impak peningkatan tersebut kepada pengguna khususnya kategori domestik, Kerajaan Negeri dan operator air masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan subsidi atau rebat kepada pengguna yang kurang berkemampuan seperti golongan B40 atau golongan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih," ujarnya.
#bekalan air #SPAN #tarif air #Akmal Nasrullah Mohd Nasir
;