Kerajaan akan laksana syarat liabiliti ketat bagi pekerja migran

Bernama
Disember 19, 2015 08:58 MYT
LOW: Kadar yang ada sekarang terlalu rendah. Kami akan naikkannya, mungkin lebih sekali ganda. -Gambar fail
Kerajaan akan melaksanakan syarat liabiliti ketat mengenai pengambilan pekerja migran pada separuh pertama 2016.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata syarat itu termasuk pematuhan ketat terhadap dasar gaji minimum dan pemberian layanan sama rata antara pekerja tempatan dan asing.
Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing berdaftar di Malaysia selain, mungkin lebih sejuta lagi yang tidak berdaftar.
Low berkata kerajaan juga merancang menaikkan kadar denda sebagai langkah menyekat majikan tempatan daripada mengambil pekerja haram, yang kini kadarnya ialah RM5,000 bagi setiap pekerja haram.
"Kadar yang ada sekarang terlalu rendah. Kami akan naikkannya, mungkin lebih sekali ganda. Tujuannya menghalang majikan daripada mengambil pekerja haram," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia mengenai Buruh Imigran di sini pada Jumaat, oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata kerajaan akan memberi lebih banyak tumpuan terhadap usaha menambah baik pengurusan pekerja asing.
Beliau berkata satu dasar pengambilan pekerja asing secara komprehensif akan digubal dengan mengambil kira keperluan industri serta kebajikan pekerja imigran.
"Perundingan secara aktif dengan industri mengenai dasar dan permintaan terhadap buruh imigran akan diadakan secara berkala seperti diamalkan negara maju bagi meningkatkan ketelusan dalam pengurusan pekerja imigran," katanya.
Abdul Wahid berkata langkah itu akan membantu kerajaan dalam mengenal pasti permintaan serta mengumpul input berkaitan untuk menggubal strategi yang tepat mengenainya.
"Pembaharuan dalam pengurusan pekerja imigran perlu dilakukan secara mesra pasaran sebagai respons kepada keperluan ekonomi kita dan seperti yang disyorkan Bank Dunia," katanya.
Abdul Wahid berkata kerajaan juga akan menambah baik pasaran buruh secara keseluruhan, merombak pengurusan buruh asing yang kini tidak seragam serta memerlukan penyelarasan lebih kemas dan mengharmonikan penguatkuasaan antara kementerian.
#Paul Low Seng Kuan #pekerja migran #Syarat liabiliti
;