Kerajaan akan kurangkan pegangan dalam syarikat bukan strategik
Bernama
November 2, 2018 19:09 MYT
November 2, 2018 19:09 MYT
Kerajaan akan mengurangkan pegangannya dalam syarikat bukan strategik dengan merealisasikan nilai yang sebaik mungkin dan kemudian menggunakan hasil tersebut untuk mengurangkan hutang.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini, berkata kerajaan juga akan memanfaatkan aset kerajaan dengan melaksana model kerjasama awam swasta (PPP) yang sebenar bagi projek yang berdasarkan transaksi tukaran tanah.
Menurutnya, kerjasama tersebut akan dilaksana secara tender terbuka dan bukannya kaedah rundingan terus.
"Sebelum ini melalui kaedah rundingan terus, tanah kerajaan telah dinilai di bawah harga pasaran manakala kos projek adalah lebih tinggi daripada kos sepatutnya," katanya.
Dalam pada itu, Lim berkata model PPP sebenar yang berasaskan tender terbuka akan membolehkan kerajaan memperoleh hasil tertinggi bagi aset yang dilupuskan dan pada masa yang sama mendapat nilai terbaik bagi projek dianugerahkan.
"Berdasarkan model baharu ini, sebanyak 24 projek PPP seperti sekolah, kem tentera, balai polis dan bomba serta rumah mampu milik yang keseluruhannya bernilai RM5.2 bilion akan dilaksana dan kerajaan akan dijangka mendapat pulangan bersih sebanyak RM800 juta daripada lebihan penjualan tanah,"katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga merancang untuk melaksanakan penjualan tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi tertakluk kepada syarat tanah bagi memaksimumkan hasil kepada kerajaan.
--BERNAMA