Kerajaan akan kaji semula mekanisme subsidi petrol - Tengku Zafrul
Ridauddin Daud
Mac 10, 2022 12:21 MYT
Mac 10, 2022 12:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi petrol supaya ia lebih bersasar dan menumpukan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan subsidi secara bersasar juga dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan.
Menurutnya, penjimatan yang dicapai itu dapat diagihkan semula untuk program yang lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan juga tidak boleh meminjam untuk membiayai Belanja Mengurus (OE) seperti kos subsidi. Dengan itu, kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan juga penjimatan perbelanjaan.
“Program subsidi semasa melibatkan harga bersubsidi yang sama dinikmati semua, tanpa mengira kaya atau miskin.
“Tambahan pula, golongan yang berpendapatan tinggi akan menikmati lebih subsidi berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH - Bukit Bendera) yang bertanya sama ada satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan atau tidak.
Tambah beliau, sejak permulaan tahun 2021, harga minyak mentah dunia menurut Brent Crude Oil telah menunjukkan trend peningkatan yang signifikan.
“Harga minyak mentah bagi bulan Januari tahun ini adalah pada kadar AS$85 setong iaitu meningkat berbanding Januari 2021 sebanyak AS$55 setong.
“Berikutan kenaikan ini, kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak atau liquefied petroleum gas (LPG) yang ketara.
“Peningkatan itu adalah sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat daripada RM200 juta untuk bulan Januari 2021 kepada lebih daripada RM2 bilion pada bulan Januari 2022,” ujarnya.