Kerajaan akan kaji semula mekanisme kawalan harga - Salahuddin

Hilmi Malik
Januari 10, 2023 13:19 MYT
Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme kawalan harga yang dilihat sudah agak lapuk, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA : Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme kawalan harga yang dilihat sudah agak lapuk, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurut beliau, tindakan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
"Memang dalam masa terdekat kita akan kaji semula, sudah setahun (mekanisme kawalan harga)," jawabnya ringkas dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 kepada warga kementeriannya, di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, golongan peniaga mendakwa kawalan harga dan soal harga siling dilihat tidak lagi relevan sekali gus didakwa mengakibatkan barangan seperti telur, gula putih, minyak masak paket dan tepung kerap berlaku kekurangan di pasaran.
Susulan itu, golongan tersebut berpendapat, kerajaan wajar untuk menilai semula mekanisme kawalan harga yang disifatkan sudah ketinggalan zaman.
Dalam pada itu, Salahuddin turut menyentuh mengenai isu kekurangan bekalan minyak masak paket yang didakwa masih berkurangan.
Ujarnya, perkara itu hanya melibatkan beberapa kawasan dan tidak berlaku secara menyeluruh.
"Sebab itu kita adakan Op Terjah kerana maklumat yang saya terima minyak ini masih ada tetapi aduan yang dibuat secara spesifik di kawasan tertentu.
"Jadi nak kata minyak secara keseluruhan itu berkurang memang tidak benar... minyak masak bersubsidi masih beredar di seluruh negara.
"Saya minta pengguna untuk buat aduan di aplikasi e-aduan dan pegawai kita akan bertindak serta merta," ujar Salahuddin lagi.
#kawalan harga barang #mekanisme #harga barang mahal #Salahuddin Ayub
;