Kerajaan akan kaji semula harga siling ayam - Salahuddin

Bernama
Januari 13, 2023 15:59 MYT
Berikutan bekalan ayam di pasaran sudah pulih, pihak KPDN akan melakukan perbincangan dengan pemain industri itu untuk menentukan harga siling baharu dalam masa terdekat. - Gambar BERNAMA
ALOR SETAR: Penetapan harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam standard di pasaran akan dikaji semula bagi memastikan rakyat mendapat sumber protein itu pada harga yang lebih stabil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berikutan bekalan ayam di pasaran sudah pulih, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan pemain industri itu untuk menentukan harga siling baharu dalam masa terdekat.
"Harga siling setakat ini kita kekal RM9.40 sekilogram tetapi saya lihat di seluruh negara pada hari ini syarikat-syarikat bermurah hati untuk menjual di bawah harga siling, ada yang jual RM7.90 sekilogram, ada jual RM8.90 sekilogram.
"Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana insentif mereka ini memberikan banyak ruang kepada rakyat untuk mendapatkan harga yang lebih murah," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat jualan ayam, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada harga siling baharu itu nanti akan lebih murah berbanding harga siling semasa atau sebaliknya, Salahuddin berkata, perkara itu akan ditentukan kemudian dan berharap rundingan baik dapat dilakukan dengan pemain industri.
Salahuddin berkata, selain mengadakan perbincangan dengan pembekal dan penjual ayam, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri itu bagi mendapatkan perincian berhubung isu bekalan ayam di pasaran.
Beliau berkata, pertemuan itu diharap dapat mengenal pasti punca kepada masalah yang berlaku dan mencari penyelesaian supaya rantaian bekalan di pasaran dapat diperbaiki.
"Ada empat syarikat besar yang saya akan umumkan nanti, saya akan meneruskan libat urus ini terus kepada mereka, kepada punca dari mana masalah ini berlaku.
"Jadi tunggu dulu, biar saya dapatkan fakta-fakta yang lebih lengkap daripada kementerian (KPDN), daripada MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Kementerian Ekonomi dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)," katanya.
Sementara itu, beliau menyeru peruncit khususnya di kawasan luar bandar untuk mendaftar dengan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) yang diwujudkan kementerian bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi secara terus daripada pembekal. - BERNAMA
#harga siling #Ayam #kpdn #Salahuddin Ayub
;