Kerajaan akan kaji harga beras putih tempatan - Mohamad Sabu

Umavathi Ramayah
Oktober 2, 2023 18:23 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sidang media khas hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji harga beras putih tempatan (BPT) yang ditetapkan pada RM2.60 sejak tahun 2008, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu memberitahu, pihaknya juga menerima desakan daripada pihak peniaga dan pengilang untuk menaikkan harga BPT terbabit.
"Memang pihak peniaga dan pengilang desak supaya harga sekilogram BKT RM2.60 dinaikkan, harga ini ditetapkan pada tahun 2008, tetapi kerajaan akan mengkaji dari semasa ke semasa tentang keperluan semua pihak," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
[TERKINI] Sidang Media Khas Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sekatan pengeksportan beras putih secara mengejut oleh negara India, yang membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia, Mohamad menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menghubungi rakan sejawatnya, Narendra Modi, baru-baru ini.
"Oleh kerana situasi di negara mereka sekarang terlibat dalam pilihan raya di enam negeri dan masalah dengan Kanada, maka mereka meminta perbincangan dilakukan melalui duta.
"Duta India telah datang ke pejabat kementerian dan berbincang dengan saya, segala permintaan kita akan dijawab pada minggu.
"Perhubungan kerajaan kepada kerajaan dengan India begitu baik sekali. Seolah-olah akan mendapat keputusan yang baik minggu ini," ujarnya.
Sebelum itu, beliau memaklumkan, isu bekalan beras putih kini menjadi masalah dunia.
#Mohamad Sabu #Narendra Modi #harga beras #beras putih tempatan #Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
;