Kerajaan akan guna skrin di tempat awam untuk tangkis tohmahan - Jailani

Bernama
September 15, 2015 08:16 MYT
JAILANI: Pendekatan itu juga untuk menangkis fitnah yang disebarkan oleh media sosial sehingga dikatakan menimbulkan kebencian terhadap pemimpin-pemimpin negara.
Kerajaan akan menggunakan rangkaian skrin di tempat awam di seluruh negara untuk menangkis tohmahan terhadapnya.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata ia merupakan pendekatan yang strategik dan berkesan untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau berkata pendekatan itu juga untuk menangkis fitnah yang disebarkan oleh media sosial sehingga dikatakan menimbulkan kebencian terhadap pemimpin-pemimpin negara.
"Buat permulaan, ia akan dilaksanakan di Kuala Lumpur menerusi program INFO2U iaitu program paparan maklumat kerajaan yang akan dipaparkan pada rangkaian skrin di tempat awam dan di sekitar kawasan pengangkutan awam," katanya pada sidang media selepas merasmikan program INFO2U di sini, hari ini.
Jailani berkata program INFO2U adalah kerjasama antara Jabatan Penerangan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Prasarana Malaysia Berhad.
Dalam pada itu, beliau berkata pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dibentang di Dewan Rakyat seawal Oktober ini, akan menangani jenayah siber dengan lebih berkesan.
#Datuk Jailani Johari #INFO2U #Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia
;