Kerajaan akan cari jalan bayar Singapura jika HSR batal
Sinar Harian
Mei 26, 2018 05:47 MYT
Mei 26, 2018 05:47 MYT
Kerajaan akan mencari jalan mengurangkan jumlah wang yang perlu dibayar kepada Singapura jika terpaksa membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu termaktub dalam terma dan perjanjian HSR dengan Singapura.
“Jika kita tarik diri daripada projek itu, kita perlu menanggung kos yang tinggi. Kita telah membuat persetujuan dengan Singapura.
“Sekiranya perjanjian itu dilanggar, kita perlu membayar jumlah wang yang sangat besar,” katanya seperti dilaporkan The Edge Weekly.
Menurut Mahathir, HSR dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara dua projek mega yang menyumbang kepada hutang negara mencecah RM1 trilion.
“(Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak), tahu bahawa ECRL, sebagai contoh, adalah sesuatu yang kita tidak mampu. Ia tidak akan memberi kita sebarang pulangan. Tetapi beliau tetap mahu meneruskannya,” katanya.
Mahathir turut menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu melaksanakan dua projek mencecah multibillion-ringgit itu serentak sebagai ‘gila’.
“Beliau (Najib) tidak fikir bagaimana kita akan membayar semua ini," katanya.
HSR adalah projek yang melibatkan landasan sepanjang 350 kilometer itu dan mempunyai lapan hentian iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.
Manakala, projek ECRL membabitkan jajaran sejauh lebih 600 kilometer bagi mengurangkan tempoh perjalanan antara timur dan barat Malaysia.
Ia bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak dan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian.
#ECRL
#HSR
#Hutang negara
#kaji semula
#kereta api
#Kereta Api Berkelajuan Tinggi
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#Najib Razak
#projek
#projek mega
#RM1 trilion
#Singapura
#The Edge Weekly