Kerajaan akan bincang moratorium tanpa faedah terakru - Perdana Menteri

Hasimi Muhamad
September 14, 2021 08:33 MYT
Ismail Sabri berkata, kerajaan memahami situasi yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 - Gambar/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia berbincang mengenai cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi memudahkan pembayaran hutang isi rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan memahami situasi yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Insya-Allah, cadangan daripada Yang berhormat tersebut akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan.
“Kita faham situsi yang dihadapi oleh rakyat, Insya-Allah kita akan cuba membantu sebaik-baiknya,” katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
SISI TV PARLIMEN: DI SINI ANDA DAPAT MENONTON SEMUA VIDEO MENARIK DI DEWAN RAKYAT!
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang memberi moratorium tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi meringankan beban pembayaran hutang isi rumah termasuk rumah dan kenderaan.
Media melaporkan, Kementerian Kewangan telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.'
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej bantuan moratorium automatik pinjaman selama enam bulan kepada semua peminjam individu tanpa syarat di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Kemudahan itu juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan bank.
#Moratorium #Ismail Sabri #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz