Kerajaan akan biayai RM1 bilion kos pembangunan BRT Johor

Astro Awani
Oktober 7, 2017 14:23 MYT
Datuk Seri Najib bersama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat Morgan iaitu kereta kepunyaan Sultan Johor Sultan Ismail Almarhum Sultan Iskandar setelah merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 hari ini. - Foto Bernama
Kerajaan Pusat akan membiayai RM1 bilion kos pembangunan Bas Rapid Transit (BRT) di negeri Johor daripada jumlah kos keseluruhan yang dijangka menelan belanja RM2.6 bilion.
Manakala selebihnya akan dibiayai oleh pembiayaan awam dan swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata BRT adalah salah satu daripada empat inisatif yang diambil bagi memajukan negeri itu yang sememangnya telah menjadi pusat ekonomi baharu negara.
Tiga inisiatif yang lain adalah menambahbaik sistem pendidikan TVET sesuai dengan kehendak kemahiran negeri, Program Perumahan Rakyat (PPR) Johor dan Dasar Kelestarian Johor.
“Kerajaan pusat menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan kerajaan Johor akan bangunkan BRT sebagai teras kepada infrastruktur pengangkutan awam untukk dua dekad yang akan datang.
“BRT adalah sistem transit yang berkualiti tinggi yang akan beri perkhidmatan selesa dan mampu digunakan rakyat.
“Kos BRT RM2.6 bilion ini akan dibiayai menerusi (kerajaan) Pusat sebanyak RM1bilion manakala pembiayaan awam dan swasta RM1.56 bilion.
"Saya difahamkan BRT mengandungi ciri-ciri aliran ringan, maka ia akan lebih cepat berbanding bas biasa.
“Pembangunan BRT akan ada sambungan link lancar ke RTS, HSR, komuter serta terminal bas antarabangsa dengan jangkaan penduduk dan penambahan ekonomi,” kata perdana menteri ketika berucap merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua inisiatif itu bukan sahaja menunjukkan kemajuan Johor pada masa kini tetapi selaras dengan gelaran Johor sebagai ‘new economic power house'.
Katanya, perancangan dan kejayaan itu juga didasarkan atas kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan negeri.
Jelas perdana menteri lagi, penambahbaikan TVET di Johor selaras dengan TVET Malaysia yang mana ianya bertujuan memenuhi keperluan tenaga pekerja mahir negara.
Selain itu sesuai dengan pembangunan pesat di negeri Johor, Kerajaan Pusat melancarkan empat lagi PPR yang akan dibangunkan di Ulu Tiram, Permas Jaya, Masai dan Bandar Tenggara membabitkan 1,830 unit kediaman dengan kos keseluruhan bernilai sekitar RM360 juta.
Namun begitu, dalam memastikan pembangunan, Dasar Kelestarian Johor tetap diterapkan bagi pembangunan mampan dan lestari tanpa menjejaskan alam sekitar.
#bas rapid #BRT #Johor #Khaled Nordin #menteri #Najib Razak #pembangunan #pendidikan #Perdana Menteri #rakyat #TVET
;