Kerajaan akan berusaha naikkan elaun guru KAFA - Mujahid

Astro Awani
Januari 17, 2020 05:13 MYT
Mujahid melancarkan aplikasi e-RPH sebagai penggunaan domain KAFA Edu My dan KAFA Pendidikan Khas Zon Utara di Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal, pada Jumaat. - Astro AWANI
Kerajaan sedang berusaha untuk menaikkan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negara sebagai salah satu cara membantu menjaga kebajikan guru-guru berkenaan di masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perkara itu akan dibincangkan serta diusulkan pada peruntukan Belanjawan 2021 akan datang.
Katanya, dengan adanya kenaikan elaun itu, secara tidak langsung ia akan menaikkan semangat dan kualiti para guru dalam menjalankan tugas mendidik.
Menurut Mujahid, pada pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan telah memberikan elaun RM100 kepada 33,200 guru KAFA membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta.
"Dalam Belanjawan 2020 kita telah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM100 lagi, menjadikan elaun mereka kini RM1,000 daripada RM900 sebelum ini.
"Saya katakan ia (kenaikan elaun) tidak akan terhenti di sini. Untuk Belanjawan 2021, kita akan minta lebih lagi supaya guru KAFA tidak rasa terpinggir dari sudut elaun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan aplikasi e-RPH (Rancangan Pengajaran Harian) sebagai penggunaan domain KAFA Edu My dan KAFA Pendidikan Khas Zon Utara di Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal, di sini, pada Jumaat.
Selain kenaikan elaun guru KAFA, Mujahid berkata, pihaknya akan turut berbincang mengenai elaun kepada guru KAFA yang cuti bersalin kerana buat masa ini mereka tidak menikmati sebarang elaun dalam tempoh itu.
Beliau turut memuji inovasi yang julung kali dibuat di Pulau Pinang itu dan berharap ia akan menjadi contoh kepada KAFA negeri lain.
"Ia satu program yang cukup baik dan boleh dijadikan contoh kepada KAFA negeri lain yang kini mempunyai hampir 30,000 guru dan sejuta murid di seluruh negara," katanya.
#bajet #Belanjawan 2020 #Belanjawan 2021 #elaun #guru #KAFA #Kelas al-Quran dan Fardhu Ain #kerajaan #Mujahid Yusof #pendidikan #pulau pinang
;