Kerajaan akan beri lampu hijau untuk Lynas teruskan operasi - Tun M
Firdaus Azil
Mei 30, 2019 16:41 MYT
Mei 30, 2019 16:41 MYT
Malaysia akan terus membenarkan Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) beroperasi di negara ini, walaupun sebelum ini syarikat itu mendapat kritikan hebat ekoran cara mereka menguruskan sisa buangan di Gebeng, Pahang.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya lesen itu tidak diperbaharui, negara akan kehilangan pelaburan yang sangat besar.
Bagaimanapun, tegasnya lagi, kerajaan akan terus berunding dengan syarikat kilang pemprosesan nadir bumi itu termasuk memastikan sisa buangan yang terhasil diuruskan di negara lain.
“Kami berpendapat, kami perlu memperbaharui lesen mereka,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kelab Pengamal Media Antarabangsa Jepun di sini, hari ini.
Kabinet sebelum ini telah menangguhkan perancangan untuk memperbaharui lesen kilang itu yang akan tamat pada 2 September ini.
Sehingga kini, media melaporkan jumlah pelaburan keseluruhan untuk operasi Lynas berjumlah RM3 bilion, sejak ia dibuka pada 2012.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia berharap agar Lynas dapat mencari jalan untuk menguruskan sisa buangan yang terhasil, memandangkan negara ini mempunyai pengalaman buruk dengan sisa radioaktif.
#Gebeng
#Kerajaan akan beri lampu hijau untuk Lynas teruskan operasi
#Lynas
#Mahathir Mohamad
#Pahang
#Perdana Menteri