Kerajaan akan balas budi rakyat, janji terus kongsi kemakmuran bersama - Tun Mahathir

Astro Awani
Jun 29, 2019 05:00 MYT
Dr Mahathir bersalam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM di Kulim Hi-Tech Park pada Sabtu. Turut kelihatan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. --fotoBERNAMA
Kerajaan berjanji akan membalas budi rakyat negara ini yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan melaksanakan dasar baru iaitu 'Kemakmuran Bersama' demi memastikan rakyat terus mendapat manfaat pembangunan yang dirancang.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui dasar itu, pihaknya percaya tiada mana-mana individu akan ketinggalan, sebaliknya bersama berkongsi kejayaan yang diperoleh negara.
Beliau berkata, walaupun ada pihak yang mempersoalkan pencapaian kerajaan PH, namun hakikatnya telah banyak kejayaan yang diperolehi.
Katanya, kerajaan komited untuk merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar khususnya di sektor pertanian agar terus menikmati kemakmuran sebagaimana mereka di bandar.
"Sebab itulah PH akan membalas budi kepada rakyat yang memilih PH. Kita telah berjanji untuk kongsi bersama segala kekayaan negara kita.
"Kita memperkenalkan dasar baru iaitu 'Kemakmuran Bersama' atau 'Shared Prosperity'. Inilah hajat kita, dan tak akan ada sesiapapun tertinggal kalau mereka sanggup membuat kerja-kerja tertentu yang dirancang kerajaan.
"Sektor pertanian yang begitu banyak orang yang miskin, kita akan perkenalkan pendekatan yang baharu supaya mereka di luar bandar akan menikmati kemakmuran, sama seperti mereka di dalam bandar. Itulah janji kita," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat Nasional di Dewan Konvensyen MBI Desaku di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya juga, Dr Mahathir berkata, rakyat di negara ini seharusnya bersyukur kerana berada di dalam sebuah negara yang selamat, aman dan damai.
Rakyat Malaysia katanya bertuah apabila hidup dalam suasana harmoni dan saling hormat-menghormati sehingga dapat menyambut perayaan kaum masing-masing dengan aman, tanpa ketakutan, berbanding negara lain.
Malah, rakyat juga katanya, bebas menyuarakan pandangan dan membuat teguran terhadap kerajaan selain tidak perlu hidup dalam ketakutan ditindas oleh pihak tertentu.
#balas budi #kemakmuran bersama #kerajaan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #rakyat #rakyat Malaysia #sektor pertanian #teguran
;