Keracunan makanan: Pengusaha kantin SK Chepor akan didakwa - Exco

Bernama
Oktober 1, 2024 15:50 MYT
A Sivanesan (kanan) memeriksa tahap kebersihan kantin Sekolah Kebangsaan Chepor hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, di sini bakal dikenakan tindakan perundangan susulan kejadian keracunan makanan melibatkan 132 murid, seorang guru dan seorang staf sokongan, pada 25 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang turut melibatkan penutupan premis serta-merta tidak lebih 14 hari.
"Tindakan yang kita ambil ini adalah sebagai peringatan kepada semua premis atau pengusaha makanan yang enggan mematuhi garis panduan kebersihan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan hari ini.
Sebelum ini, semua murid yang mengalami keracunan makanan itu dipercayai memakan ayam goreng dan minuman bercoklat yang dijual di kantin sekolah berkenaan.
Berikutan kejadian itu, kantin sekolah terbabit telah diarah tutup selama 14 hari hingga 8 Okt ini ekoran didapati berada pada tahap tidak memuaskan selain merekodkan penarafan sekitar 67.9 peratus.
Sivanesan berkata pada masa ini penyediaan perkhidmatan makanan dan minuman murid diuruskan oleh pihak pengurusan sekolah buat sementara waktu.
"Walaupun kantin ditutup, pihak sekolah telah menyediakan makanan dan minuman yang dibeli dari sekolah berhampiran untuk murid di sekolah ini.
"Ia hanya bersifat sementara dan dalam masa yang terdekat pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan mempercepat urusan kemasukan pengusaha (kantin) baru ke sekolah ini," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut memohon maaf kepada setiap keluarga serta penjaga yang terkesan dengan kejadian itu.
"Selepas ini, kita akan pastikan ada guru (SK Chepor) yang akan jadi wakil kepada pihak sekolah dalam memastikan urusan bersama pihak pengusaha kantin berjalan lancar," katanya.
-- BERNAMA
#pengusaha kantin #Sekolah Kebangsaan Chepor #keracunan makanan #bakal didakwa #A Sivanesan
;