Keracunan makanan: 57 penuntut Politeknik Balik Pulau stabil

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 24, 2019 05:46 MYT
Mohd Tuah (tengah) turut berada di Hospital Balik Pulau bagi memastikan pelajar terbabit menerima rawatan yang sewajarnya.
Semua 57 pelajar Politeknik Balik Pulau yang mengalami keracunan makanan sejak petang Rabu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Balik Pulau malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail yang turut berada di hospital memaklumkan, semua pelajar berkenaan dirawat di zon hijau dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana keadaan mereka sudah semakin baik dengan sebahagiannya sudah dibenarkan pulang ke pusat pengajian.
"Seramai 57 pelajar telah terima rawatan dan menurut pengarah hospital, keadaan mereka dilaporkan stabil dan kini dirawat di zon hijau.
"Waris kepada pelajar terbabit tidak perlu bimbang kerana pengarah akademik turut berada di sini bagi memastikan mereka terima rawatan yang sewajarnya," katanya.
Tambahnya dia percaya pihak hospital akan memberikan rawatan terbaik kepada semua mangsa terlibat.
Dalam kejadian jam 4 petang Rabu, seramai 57 pelajar politeknik itu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam masak merah, telur bersama sayur kubis.
BACA: Lebih 50 pelajar politeknik sakit perut selepas makan ayam masak merah
Kesemua mereka sebelum itu menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di institut terbabit.
Program itu disertai 207 pelajar semester satu bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengahari.
#Hospital Balik Pulau #keracunan makanan #Mohd Tuah Ismail #pelajar #Politeknik Balik Pulau #rawatan #stabil
;