Keracunan gas di Sek Men Sri Pantai berulang

Astro Awani
April 28, 2013 19:36 MYT
Kejadian keracunan gas di Sekolah Menengah Sri Pantai melibatkan 56 pelajar dan guru seminggu lalu, berulang lagi.
Kali ini 28 pelajar dilaporkan terhidu gas yang sama dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Insiden berlaku 9 pagi Ahad ketika pelajar sedang khusyuk belajar dan mereka mengadu sesak nafas serta pening.
“Rasa macam sakit kepala, loya nak muntah dan ramai juga yang pengsan” kata seorang mangsa yang juga merupakan pelajar di situ, Mohd Azaman Saidin.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB, Dr Fatahul Iaham Mohamad berkata, keadaan kumpulan pelajar terlibat bagaimanapun tidak serius berbanding kes pertama sebelum ini.
"Pelajar-pelajar yang terdiri daripada tiga lelaki dan 25 perempuan ini menunjukkan simptom-simptom seperti loya, muntah, pedih mata dan pening kepala tetapi setakat ini tiada yang serius. Sekiranya pemeriksaan darah dan x-ray mereka normal, mereka akan dibenarkan pulang.
"Kita telah lakukan proses pembersihan terhadap pelajar-pelajar ini dan mereka akan dipindahkan ke hospital lama. Tapi kita akan terus buat pemantauan kerana perkara ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Fatahul berkata situasi kali ini berjaya dikawal dengan baik kerana pihaknya sudah mempunyai pengalaman dalam kejadian pertama dahulu dan kali ini tidak seteruk sebelum ini.
Walaubagaimanapun, pihak hospital terpaksa melakukan pembersihan fizikal pelajar-pelajar itu dan semua pakaian mereka dirampas untuk tujuan siasatan dan tidak akan dipulangkan.
Sementara itu, tinjauan ke Sekolah Menengah Sri Pantai mendapati bomba, Jabatan Alam Sekitar dan polis masih berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Perumahan Awam Kuala Kedah Hasan Md Nor berkata pihak sekolah seharusnya bersikap telus dalam menangani kes seperti ini bagi mengelak kejadian berulang.
"Mintalah pihak yang bertanggungjawab ini bagi tahu sebab apa yang boleh berlaku begini, waris-waris pun nak tahu. Mereka kata pihak bomba sudah membersihkan tempat itu, apa lagi sebab yang ada dalam kawasan sekolah itu," katanya.
Pada 23 April lepas, seramai 56 orang pelajar tingkatan empat dan lima, seorang guru dan seorang waris dikejarkan ke HSB kerana disyaki terhidu gas beracun yang dipercayai bahan kimia yang dipanggil 'acrolein' yang banyak digunakan dalam baja.
#Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar #keracunan gas #Sekolah Menengah Sri Pantai
;