Kerabat raja, individu dilarang guna jata, alamat istana rasmi Sultan Mizan
Bernama
Mei 16, 2019 11:37 MYT
Mei 16, 2019 11:37 MYT
Kerabat-kerabat raja atau mana-mana individu tidak layak menggunakan Jata Peribadi (Lambang) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta penggunaan nama Istana Syarqiyyah sebagai alamat orang perseorangan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, Sultan Mizan memandang berat terhadap penggunaan lambang serta nama istana rasmi baginda, sebagai alamat oleh orang perseorangan.
"Jata Peribadi Tuanku adalah dikhaskan penggunaan Tuanku sahaja. Mana-mana individu atau kerabat-kerabat raja tidak layak dan tidak berhak menggunakannya.
"Penggunaan nama istana rasmi sebagai alamat oleh orang perseorangan sepatutnya tidak berlaku dan Tuanku juga amat memandang berat perkara ini.
"Mana-mana individu juga adalah tidak layak dan tidak berhak untuk menggunakan nama istana rasmi Baginda sebagai alamat," kata beliau dalam kenyataan hari ini. - BERNAMA