Keputusan ujian akhir vaksin denggi positif

Bernama
September 4, 2014 09:25 MYT
Keputusan menunjukkan vaksin itu mampu mengurangkan kadar mangsa yang terpaksa diwadkan sebanyak 80.3 peratus, setelah tiga suntikan berjadual.
Keputusan ujian akhir ke atas vaksin denggi oleh sebuah konglomerat farmaseutikal terkemuka yang diumumkan hari ini menunjukkan keberkesanan keseluruhan sebanyak 60.8 peratus melawan penyakit itu.
Sanofi Pasteur, cabang vaksin konglomerat Perancis, Sanofi, telah menjalankan kajian lebih dua dekad untuk menangani penyakit denggi yang membunuh setengah juta orang setiap tahun.
Ujian klinikal terakhirnya telah dijalankan ke atas 20,875 kanak-kanak berusia 9-16 tahun di lima negara Amerika Latin iaitu Brazil, Columbia, Honduras, Mexico dan Puerto Rico.
Keputusannya menunjukkan vaksin itu mampu mengurangkan kadar mangsa yang terpaksa diwadkan sebanyak 80.3 peratus, setelah tiga suntikan berjadual.
Ia juga ditunjukkan sebagai selamat digunakan di samping memberi perlindungan tinggi terhadap denggi berdarah.
Keputusan ujian di Amerika Latin menunjukkan keberkesanan sebanyak 50.3 peratus terhadap serotaip 1 (ST1), 42.3 peratus terhadap ST2, 74 peratus terhadap ST3 dan 77.7 peratus terhadap ST4.
SEORANG DIWADKAN SETIAP MINIT
Walaupun keputusan menunjukkan respon lemah bagi serotaip 2, Sanofi yakin vaksin itu merupakan cara terbaik setakat ini menangani wabak denggi.
Kewujudan vaksin itu adalah selari dengan sasaran WHO untuk mengurangkan kadar morbiditi sebanyak 25 peratus dan mortaliti sebanyak 50 peratus menjelang 2020, kata Dr Muruga Vadivale, Pengarah Kanan Perubatan Hal Ehwal Denggi bagi Rantau Asia-Pasifik Sanofi-Pasteur.
"Kita harus ingat, setakat ini tiada rawatan bagi denggi mahupun imunisasi atau apa-apa perlindungan lain bagi penyakit itu. Hampir separuh populasi dunia menghadapi risiko jangkitan. Dianggarkan pada setiap minit, sepanjang tahun, satu mangsa terpaksa diwadkan kerana denggi.
"Sebagai seorang profesional perubatan, saya amat teruja dengan keputusan ujian klinikal ini. Ini kerana buat pertama kalinya dalam 20 tahun kajian dan usaha, denggi akhirnya bakal dapat dielakkan dengan vaksin," kata Dr Muruga yang berpangkalan di Singapura kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
KEPUTUSAN YANG MEMBERANGSANGKAN
Pada 11 Julai lalu, Sanofi mengumumkan dalam jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, bahawa vaksin denggi yang dihasilkannya telah melepasi fasa III ujian klinikal di Asia Tenggara. Ujian fasa III adalah antara ujian terakhir bagi sesuatu ubat sebelum ia dapat diletakkan di pasaran.
Ujian klinikal yang dijalankan ke atas 10,275 kanak-kanak sihat berumur antara dua dan 14 tahun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam itu menunjukkan keberkesanan sebanyak 56.5 peratus bagi kumpulan yang divaksinkan berbanding dengan kumpulan kawalan, dalam pantauan aktif selama 25 bulan itu.
Data itu juga menunjukkan perlindungan lebih baik terhadap virus denggi jenis DEN3 dan 4 (75 peratus). Bagaimanapun, seperti keputusan ujian klinikal di Amerika Latin, ia menunjukkan perlindungan yang kurang terhadap DEN1 (50 peratus) dan DEN2 (35 peratus).
Namun ujian klinikal di Asia Tenggara menunjukkan vaksin itu 88 peratus berkesan mengelakkan denggi berdarah. Pakar virologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit melihat keputusan konsisten kedua-dua ujian itu sebagai positif.
"Walaupun maklumat terperinci tidak akan diketahui sehingga keputusan kajian diterbitkan sepenuhnya, kita dapat membuat kesimpulan vaksin ini telah melepasi ujian keselamatan dan menawarkan perlindungan pada peringkat berbeza bagi keempat-empat serotaip.
"Mengurangkan hingga separuh jumlah mangsa denggi, memgurangkan dua pertiga jumlah mangsa yang terpaksa diwadkan sekaligus mengurangkan kos dan mengelakkan denggi berdarah dalam jumlah yang lebih kurang sama merupakan antara hasil keputusan yang penting.
"Secara peribadi, saya merasakan kita telah menjumpai senjata yang mampu digunakan untuk memerangi wabak denggi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
#denggi #Sanofi #Sanofi Pasteur #vaksin
;