Keputusan Tsu Koon letak jawatan satu pengorbanan

Arfa Yunus
Mei 12, 2013 17:48 MYT
Keputusan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk meletak jawatan menerima reaksi yang pelbagai.
Koh adalah Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 2008 dan jawatan terakhir beliau didalam kabinet adalah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pada PRU13, Gerakan hanya memperolehi satu kerusi parlimen di Simpang Renggam, Johor dan tiga kerusi DUN di Sabah.
Ini adalah prestasi terburuk Gerakan sejak 2008 dimana mereka berjaya memenangi hanya dua dari 12 kerusi parlimen dan empat dari 31 kerusi DUN yang ditandingi mereka.
Ketua Bahagian Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata Gerakan perlu memperkukuhkan parti dan memberi ruang kepada calon muda untuk memimpin parti.
“Gerakan perlu mengenal pasti kekurangan mereka dan tindakan Koh Tsu Koon untuk meletak jawatan adalah satu tindakan yang baik yang sepatutnya dilakukan lebih awal lagi,” kata Syed Ali.
Menurut Syed Ali, tindakan Koh adalah satu pengorbanan untuk menunjukkan bahawa beliau mahukan yang terbaik untuk parti dan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Mereka mahukan kepimpinan yang dinamik dimana ahli-ahli boleh berbangga. Koh telah pegang jawatan untuk satu tempoh yang begitu lama dan beliau tidak mampu memberikan penambahbaikan. Itu adalah antara sebab kita perlukan ahli-ahli parti yang boleh memperjuangkan sesuatu yang dinamik,” tambah beliau.
Ketua Pemuda Gerakan Selangor Ben Liew berkata Koh merupakan seorang pemimpin yang baik dan sumbangan beliau amat dihargai.
Namun Liew berkata pasca PRU13, ramai ahli Gerakan merasakan parti berkenaan tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan.
“Ini adalah masa untuk kami menerima keputusan beliau. Yang paling penting, parti memerlukan satu transformasi dan bersedia untuk pilihan raya berikutnya,” kata beliau.
Liew akui keputusan Koh akan menjejaskan parti terutama sekali menjelang pilihan raya parti yang akan datang.
“Jawatankuasa Pusat Gerakan mengumumkan semalam bahawa pilihan raya peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan untuk memilih pemimpin baru akan diadakan dari Jun dan Oktober,” kata beliau.
Bagi Presiden Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Soon Lim, keputusan untuk meletak jawatan itu bertujuan menghormati ahli-ahli parti beliau.
Namun Tan berkata, Koh tidak sepatutnya dipersalahkan atas kekalahan Gerakan pada PRU13, ia adalah tanggungjawab parti secara kesuluruhan.
“Saya rasa tindakan untuk meletak jawatan tidak perlu kerana Gerakan akan mengalami nasib yang sama pada PRU13 walaupun Koh tidak pemimpin parti.
“Apa yang diperlukan adalah halatuju yang baru. Mereka harus mendekati rakyat dan berani untuk melakukan perubahan,” kata beliau yang merasakan pembaharuan harus dilakukan sekarang.
“Pembaharuan yang dimaksudkan di sini adalah mereka harus bekerjasama dengan parti-parti lain seperti MCA, PPP atau parti-parti kecil di bawah BN, yang mengalami nasib yang sama,” tambah Tan.
#Barisan Nasional #GERAKAN #Koh Tsu Koon #pilihan raya #PRU-13 #PRU13
;