Keputusan tidak wajibkan pemakaian pelitup muka petanda baik - Muhyiddin
Raja Hisyam Raja Zaid
September 7, 2022 21:04 MYT
September 7, 2022 21:04 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup adalah satu perkembangan yang baik.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat MPN yang lepas walaupun ketika itu KKM belum memberikan sebarang keputusan.
"Apapun keputusan yang dibuat mestilah berasaskan kepada data, pada kajian saintifik dari sudut kesihatan awam dan sebagainya. Sebab itu apapun keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Kesihatan saya fikir kita terima.
"Tapi dia kata optional (pilihan) maknanya kalau kita rasa tak selesa, nak pakai pakailah. Kalau rasa tak selamat itu terserah," katanya ketika ditemui media selepas hadir melancarkan Buku Autobiografi Tan Sri Ampi di Bangsar hari ini.
Tambahnya, keadaan semasa ketika ini menunjukkan perkembangan positif dengan banyak negara turut melonggarkan syarat tersebut dan memberi kebebasan kepada rakyat untuk menentukan pemakaian pelitup muka.
Hari ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengulas lanjut, katanya pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri.