Keputusan telaga minyak Bertam milik Terengganu atau Pahang diketahui Januari

Bernama
Disember 12, 2017 18:40 MYT
Keputusan pertikaian antara Terengganu dan Pahang mengenai pemilik sebenar telaga minyak Bertam akan diketahui Januari ini. - gambar hiasan
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu keputusan status telaga minyak Bertam milik Terengganu atau Pahang hanya akan diketahui Januari depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pada masa ini, Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) masih dalam proses menentukan persempadanan telaga minyak yang terletak di perairan dua negeri Pantai Timur itu.
“Jupem menyatakan urusan persempadanan akan selesai akhir Januari depan, jadi kerajaan negeri sedang tunggu keputusan itu. Perkara ini sudahpun dijelaskan pada Sidang DUN sebelum ini,” katanya.
Ahmad Razif berkata demikian selepas perkara itu dibangkitkan Dr Syed Azman Syed Nawawi (Batu Buruk-PAS) pada sesi perbahasan Bajet 2018 di Wisma Darul Iman di sini.
Syed Azman, kemudian menjelaskan beliau membangkitkan kembali isu tersebut kerana mendapati banyak kepentingan Terengganu akan ‘hilang’ jika tidak dipertahankan.
Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong kemudian menegur Syed Azman dan anggota DUN lain agar bersabar dengan isu dibangkitkan itu dan menyatakan proses rundingan sesuatu perkara memakan masa lama.
“Proses pemetaan itu melibatkan hal perundangan dan untuk menentukan persempadanan ini bukan mudah.
“Kita tunggu pihak berwajib untuk dapatkan penjelasan dan dilarang keras mendapatkan penjelasan isu ini daripada pihak tidak berkenaan sebab kita mahu sesuatu itu mengikut fakta, bukan sesuatu yang boleh mendatangkan fitnah,” katanya.
Ahmad Razif ketika ditemui pemberita kemudian, berkata kerajaan negeri tidak boleh membuat secara melulu apa-apa pengumuman atau keputusan berhubung telaga minyak Bertam meskipun terdapat desakan daripada pelbagai pihak yang prihatin mengenai isu tersebut.
“Kita tunggu laporan daripada pihak teknikal...bukan kita boleh semborono. Kita tunggu bukti-bukti dan penjelasan daripada Jupem dan agensi-agensi berkaitan yang akan menentukan lokasi dan persempadanan.
“Setakat ini persempadanan (telaga minyak) antara Terengganu dan Pahang belum selesai lagi,” katanya. -- BERNAMA
#Ahmad Razif #Ahmad Razif Abdul Rahman #bajet #DUN Terengganu #JUPEM #Menteri Besar #minyak #Pahang #Pantai Timur #Pertikaian Terengganu Pahang #telaga minyak #Telaga Minyak Bertam #terengganu
;