Keputusan tamat projek HSR tepat, utamakan keperluan semasa - Penganalisis

Bernama
Januari 1, 2021 18:08 MYT
Pembatalan itu juga menunjukkan kerajaan lebih menitikberatkan keperluan semasa, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan rakyat. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Tindakan kerajaan menamatkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebagaimana diumumkan oleh kedua-dua kerajaan hari ini, dilihat sebagai langkah terbaik selepas dua negara terbabit mengambil kira penilaian dari pelbagai aspek.
Menurut penganalisis, pembatalan itu juga menunjukkan kerajaan lebih menitikberatkan keperluan semasa, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Ketua Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICoE-Rel) Institut Kejuruteraan Integrasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Ts Dr Joewono Prasetio menyifatkan keputusan kerajaan Malaysia sebagai bertepatan memandangkan keadaan negara yang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global berikutan pandemik COVID-19.
"Sudah semestinya kerajaan telah banyak membuat pertimbangan (dan penilaian) dari segenap aspek sehingga membawa kepada keputusan ini.
"Penamatan HSR yang bermaksud pembatalan laluan Kuala Lumpur-Singapura itu (pada masa ini) dan ada kemungkinan ia dihidupkan semula dengan laluan berbeza," kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Joewono berkata Malaysia masih lagi berpeluang mempelajari dan memiliki teknologi terkini melalui pemindahan teknologi kereta api maju sekiranya laluan baharu dicadangkan di masa depan.
Beliau juga menganggap pembatalan projek HSR itu dijangka tidak memberi implikasi besar terhadap sistem pengangkutan awam di Johor mahupun dari negeri-negeri lain berikutan banyak pilihan pengangkutan lain, termasuk dari Kuala Lumpur ke Singapura.
"Sekiranya terdapat cadangan laluan baharu (HSR) sehingga Johor Bahru sekalipun, kita ada kesinambungan dengan projek Sistem Transit Rapid Link (RTS Link) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (ETS) yang sedang dijalankan," katanya.
Awal hari ini, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan HSR sejauh 350 kilometer setelah gagal mencapai sebarang persetujuan menjelang tarikh akhir semalam.
Pada 31 Mei, 2020, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembangunan projek dua hala sehingga 31 Dis 2020.
Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr L Nanthakumar pula menyifatkan keputusan itu dapat mengurangkan beban kos pembangunan negara dalam situasi ekonomi domestik dan global yang tidak menentu.
Ini sekali gus turut menunjukkan bahawa kerajaan lebih peka dengan kebajikan rakyat dan membantu golongan yang lebih memerlukan, katanya.
Menurutnya, Johor juga dijangka menerima impak minimum dari segi pengangkutan memandangkan terdapat alternatif jalan darat yang baik.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan pelaburan langsung domestik (DDI) ke Johor akan berkurangan dengan syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di negeri tersebut turut menerima tempias akibat penamatan projek berkenaan.
"Program dan dasar pembangunan Johor mungkin perlu menerima realiti pembatalan tersebut. Kesan dan imej Johor sebagai hab pembangunan selatan tanah air juga turut terkesan kerana boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
"Pembangunan hartanah dan perindustrian sepanjang jajaran HSR yang dicadangkan itu juga mungkin akan mengalami sedikit masalah apabila pelabur mengundurkan diri," katanya.
Nanthakumar berkata secara keseluruhannya, pembatalan itu memberi tempias kepada ekonomi Johor dalam jangka panjang berikutan HSR berupaya menarik pelabur untuk mengembangkan ekonomi di selatan tanahair yang turut mendapat kesan daripada pembangunan Singapura.
"Mungkin (keputusan penamatan) boleh difikirkan semula jika ekonomi sudah pulih," kata beliau.
-- BERNAMA
#HSR #pembatalan #Malaysia #Singapura #langkah terbaik #penganalisis #Kajian #ekonomi #keperluan semasa #hutang #perbelanjaan #kos
;