Keputusan STPM 2016 diumum 28 Februari

Bernama
Februari 16, 2017 12:24 MYT
Keputusan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 akan dikeluarkan pada 28 Feb ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Keputusan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 akan dikeluarkan pada 28 Feb ini, kata Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, Mohd Fauzi Mohd Kassim.
Beliau berkata calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari sementara calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.
"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT "jarak" "No Kad Pengenalan" dan menghantarnya ke 15888.
"Ia juga boleh disemak serta secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12.00 tengah hari pada tarikh berkenaan," kata dalam satu kenyataan.
Mohd Fauzi berkata seramai 43,325 calon menduduki peperiksaan di 738 buah pusat di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 42,845 orang (99.10 peratus) merupakan calon sekolah kerajaan, 264 orang (0.61 peratus) calon sekolah swasta, 114 orang (0.26 peratus) calon persendirian individu dan 12 orang (0.03 peratus) calon sekolah kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#STPM #Mohd Fauzi Mohd Kassim #15888