Keputusan SPR tidak haramkan tagline 'Bossku' pada baju dipakai pengundi adalah tepat
Afiezy Azaman
Mac 2, 2019 20:26 MYT
Mac 2, 2019 20:26 MYT
Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan penggunaan baju yang mempunyai tagline 'Bossku' atau 'Malu apa Bossku' di dalam pusat mengundi adalah tepat.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, sekiranya kempen secara tersirat itu tidak dibenarkan ia akan membangkitkan masalah yang lebih besar.
“Hanya muka calon dan logo parti politik tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi, jika SPR haramkan logo atau tagline 'Bossku' atau 'Malu Apa Bossku' ini akan menimbulkan perkara remeh-temeh yang lain dari pelbagai pihak.
“Jadi ini akan merumitkan lagi kerja dan tanggungjawab yang dijalankan oleh SPR bagi melicinkan PRK atau PRU.
“Kempen secara tersirat ini boleh dikatakan telah lama berlaku, walaupun ia dibenarkan saya tidak rasa kempen secara tersirat ini mampu mengubah keputusan pengundi kerana apabila mereka sampai di tempat mengundi bagi saya keputusan telah dibuat,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun pada Jumaat yang membenarkan pemakaian baju yang mempunyai tagline 'Bossku' atau 'Malu Apa Bossku' di dalam pusat mengundi.
“Contohnya, berkaitan pemakaian baju dengan tagline ‘Bossku’ atau ‘Malu Apa Bossku’.
“Sekiranya baju itu hanya memaparkan tagline tersebut dan gambar (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak, ia tidak menjadi kesalahan.
“Tetapi ia akan menjadi kesalahan sekiranya pada baju itu turut terselit atau memaparkan simbol atau logo parti atau gambar calon atau nama calon,” kata Azhar.