Keputusan SPM 2021 diumum 16 Jun ini

Afiezy Azaman
Jun 7, 2022 12:16 MYT
Seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan SPM yang diadakan pada Mac lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon 2021 akan diumumkan mulai 10 pagi pada 16 Jun ini.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, terdapat tiga kaedah untuk mendapatkan keputusan tersebut.
Pertama, calon-calon sekolah boleh mendapatkan keputusan dengan hadir di sekolah masing-masing. Kedua, secara dalam talian melalui pautan yang akan diberikan. Dan ketiga, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Apa yang paling penting untuk anak-anak, perjalanan masih jauh, banyak peluang dan ruang di hadapan sana.
"Apa saja keputusan SPM nanti terimalah dengan hati yang terbuka, terus bergerak ke hadapan dan lakukan yang terbaik," katanya dalam muat naik video di media sosial, hari ini.
Seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan SPM yang diadakan pada Mac lalu.
Peperiksaan Tingkatan 5 berkenaan ditangguhkan pada Mac tahun ini berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.
#SPM #Radzi Jidin #keputusan peperiksaan #keputusan spm
;