Keputusan SPM 2016 diumum 16 Mac - KP Pelajaran

Bernama
Februari 14, 2017 15:24 MYT
Menurut mesej yang tular itu, surat pekeliling bertarikh 12 Feb menyatakan pengumuman yang sepatutnya diadakan pada 2 Mac terpaksa ditunda kepada 16 Mac ini. - Gambar fail
Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 ditetapkan pada 16 Mac ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof.
Merujuk kepada isu tarikh pengumuman itu yang tular di media sosial, beliau berkata Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan semua proses penyediaan data keputusan peperiksaan SPM pada semua peringkat adalah mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
"Kementerian melaksanakan penjaminan kualiti bagi menjamin keputusan yang dikeluarkan tepat dan sahih demi keadilan kepada calon," katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu kerosakan mesin pemprosesan pembaca tanda optik dan kekangan kewangan membaik pulih mesin berkenaan yang menyebabkan Lembaga Peperiksaan terpaksa menunda pengumuman analisis keputusan SPM 2016 telah tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut mesej yang tular itu, surat pekeliling bertarikh 12 Feb menyatakan pengumuman yang sepatutnya diadakan pada 2 Mac terpaksa ditunda kepada 16 Mac ini. -- Bernama
#keputusan spm #Ketua Pengarah Pelajaran #Khair Mohamed Yusof