Keputusan SPM 2014 diumumkan 3 Mac - Idris Jusoh

Bernama
Oktober 7, 2014 17:35 MYT
Calon di seluruh negara berdebar menanti pengumuman keputusan SPM 2014 mereka.
Pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 diawalkan dan akan dibuat pada 3 Mac tahun depan, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, pengumuman keputusan kira-kira dua minggu lebih awal itu akan membolehkan pelajar mendaftar dan menamatkan kursus pengajian prauniversiti dalam masa yang ditetapkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan New Zealand bagi kemasukan Februari 2016.
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Persatuan Kolej Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) dan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) di sini hari ini, Idris berkata, ia diputuskan selepas mempertimbangkan bahawa SPM adalah peperiksaan nasional yang boleh mempengaruhi dasar serta peraturan kerajaan.
"Keputusan ini diambil tanpa ketepikan segala syarat yang ditetapkan kementerian dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengekalkan standard SPM sebagai peperiksaan yang beraspirasikan nasional.
"Oleh kerana mereka boleh memasuki IPTS lebih awal, maka segala isu tentang lewat masuk universiti, kos, jarak masa terluang telah kita selesaikan melalui perbincangan bersama," katanya.
Kementerian Pendidikan menerusi surat bertarikh 23 Mei 2014 mengingatkan semua IPTS bahawa keputusan ramalan tidak boleh digunakan untuk kemasukan bagi kursus pengajian tinggi.
Dalam satu kenyataan media pada 30 Sept lepas, Kementerian Pendidikan menjelaskan syarat wajib mengikuti pengajian seperti matrikulasi, prauniversiti, program asasi dan kursus diploma mengikut Seksyen 38 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, memerlukan keputusan sebenar SPM.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa IPTS mengetahui sepenuhnya mengenai keperluan SPM sebagai syarat kelayakan bagi mengikuti kursus yang diluluskan Kementerian Pendidikan.
Kenyataan kementerian itu juga menyebut bahawa IPTS mengetahui bahawa mengambil masuk pelajar menggunakan keputusan ramalan SPM merupakan kesalahan mengikut Seksyen 40(1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Idris berkata keputusan terbaharu itu hanya tertakluk kepada peperiksaan SPM tahun ini sahaja manakala keputusan untuk peperiksaan berikutnya akan diputuskan kemudian.
Beliau juga berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat demi kebaikan bidang pendidikan.
"Ini sesuatu yang sukar untuk diputuskan, namun hasil perbincangan berterusan kita putuskan perkara ini demi kebaikan institusi pendidikan, pelajar dan semua pihak terlibat," katanya.
#2014 #Idris Jusoh #keputusan #SPM
;