Keputusan siasatan insiden bunga api meletup diketahui dua minggu lagi
Astro Awani
Januari 3, 2017 18:14 MYT
Januari 3, 2017 18:14 MYT
Hasil siasatan dalaman yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas ditubuhkan Majlis Perbadaran Klang (MPK) berhubung kejadian percikan bunga api yang mencederakan pengunjung pada sambutan tahun baharu 2017 akan diketahui dalam tempoh dua minggu.
Yang Dipertua MPK, Datuk Yasid Bidin berkata pasukan dianggotai empat pegawai kanannya sudahpun memulakan siasatan sejak dua hari lepas.
Tugas pasukan khas berkenaan adalah untuk melihat sama ada berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika majlis itu diadakan.
“Seramai empat orang daripada MPK telah dilantik menjalankan siasatan tersebut. Mereka terdiri daripada pengarah dan juga pegawai pegawai yang tiada kaitan dalam program tersebut.
“Siasatan kita juga akan merangkumi selain daripada Prosedur Operasi Standard (SOP), juga apa-apa penemuan termasuk kecuaian dalam pegawai dan kakitangan kita. Kita akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengambil tindakan tata tertib kepada pegawai kita yang cuai dalam tugasan ini,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Yasid juga mengesahkan sudah memberi keterangan kepada polis selama sejam siang tadi.
Keterangan itu juga bagi membantu siasatan yang turut dilakukan oleh polis.
Yasid turut menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa polis turut terlibat dalam Jawatankuasa Penganjuran Fiesta Gegar Klang 2016 sempena tahun baharu pada hujung minggu lepas.
Dalam kejadian Sabtu lepas, kegembiraan orang ramai yang mengunjungi pesta itu bagi menunggu detik 12 tengah malam bertukar menjadi mimpi ngeri apabila bunga api meletup di atas tanah.
Kejadian menyebabkan 14 cedera.
#bunga api
#Datuk Yasid Bidin
#Klang
#letupan
#mangsa melecur
#mercun
#saksi kejadian
#sambutan tahun baru