Keputusan semakan Muhyiddin lepas bebas hari ini

Sinar Harian
September 11, 2024 08:00 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Keputusan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyemak dapatan Mahkamah Rayuan, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya, akan diputuskan di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli dijangka memutuskan perkara terbabit pada jam 9 pagi.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, untuk membatalkan tuduhan terbabit.
Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Pada prosiding lalu, Ahli Parlimen Pagoh terbabit diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Steven Suppiah Perian KC (King's Counsel).
Dalam permohonan notis usulnya, Muhyiddin berkata, keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Sementara itu, Hisyam dalam hujahannya berkata, ia adalah kes yang wajar disemak kerana anak guamnya sudah tiada jalan perundangan lain, kecuali mendapatkan bantuan di mahkamah itu (mahkamah rayuan).
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya pula, memohon kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen dengan alasan permohonan bekas Perdana Menteri terbabit, merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pemimpin Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lalu atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. - Sinar Harian
#Muhyiddin Yassin #Rasuah #salah guna kuasa #Mahkamah Rayuan #terkini
;