Keputusan sambung mencari MH370 minggu depan - Tiong Lai
Astro Awani
Januari 3, 2018 22:43 MYT
Januari 3, 2018 22:43 MYT
Keputusan untuk meneruskan misi mencari pesawat MH370 akan diumumkan minggu depan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan kini berada pada fasa terakhir perbincangan sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut.
"Kita akan umum minggu depan, syarikat itu boleh menggerakkan kapal mereka selepas rundingan akhir selesai.
"Australia dan China mungkin akan terlibat dalam misi itu," katanya ketika ditemui selepas pelancaran portal therakyat.com di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Beliau mengulas laporan berita antarabangsa The Guardian yang memaklumkan misi pencarian MH370 akan diteruskan selepas sebuah kapal penyelidik dikendalikan Ocean Infinity meninggalkan pelabuhan Durban, Afrika Selatan menuju ke Perth, Australia.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata rundingan dengan syarikat tersebut adalah berasaskan perjanjian 'Tiada bayaran tanpa sebarang penemuan' (no find, no fee).
Katanya, laporan akhir siasatan menyeluruh mengenai punca kehilangan MH370 sedang disediakan pasukan penyiasat dan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun dari tarikh penggantungan pencarian pesawat malang itu.
Keputusan menggantung pencarian MH370 dicapai semasa mesyuarat tripatite peringkat menteri antara Malaysia, Australia dan China pada 22 Julai lalu, namun pencarian selanjutnya boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.
MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.