Keputusan representasi Papagomo gugur pertuduhan hasut, babit Agong Januari depan

Bernama
Oktober 18, 2024 14:00 MYT
Papagomo didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada 12 tengah hari, 29 April lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan representasi dikemukakan bekas Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo bagi menggugurkan pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan diketahui 6 Jan depan.
Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan baharu menerima representasi tersebut daripada pihak peguam pada 15 Okt lepas.
"Oleh itu, pendakwaan mohon supaya tarikh bagi mengetahui keputusan representasi itu ditetapkan pada awal Januari tahun depan," kata Wan Ahmad Hijrah semasa prosiding sebutan kes itu hari ini.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri, 41, mengesahkan mengenai representasi berkenaan.
Pada 2 Mei lepas, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart &
Superstore Sdn Bhd menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada 12 tengah hari, 29 April lepas.
Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Papagomo #kes mahkamah #Sultan Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong
;