Keputusan rayuan kes tanah Duta Enclave pada 24 Jun

Bernama
Mac 7, 2025 19:00 MYT
Pertikaian undang-undang Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 24 Jun sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan kerajaan mengenai pemindahan hak milik 263.272 ekar tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate Sdn Bhd.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan menetapkan 24 Jun sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan kerajaan mengenai pemindahan hak milik tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate Sdn Bhd.
  • Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Semantan Estate, sementara Semantan Estate turut merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka.
  • Pertikaian undang-undang mengenai tanah di Duta Enclave bermula pada 2003 apabila Semantan Estate menyaman kerajaan, mendakwa tanah tersebut diambil secara tidak sah.

Penolong kanan pendaftar Mahkamah Rayuan, Ahmad Izuddin Fajri Fakrullah, menetapkan tarikh tersebut dalam pengurusan kes hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili kerajaan dan peguam Janet Chai Pei Ying bagi pihak Semantan Estate mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.
Pada 20 Feb lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak yang terlibat.
Kerajaan sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos tahun lalu yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate. Mahkamah sebelum ini memutuskan berpihak kepada saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Semantan Estate turut merayu terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman syarikat itu untuk mendapatkan semula tanah berkenaan.
Syarikat itu juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang kemudiannya membenarkan permohonan Pendaftar Tanah bagi perintah penangguhan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.
Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pertikaian undang-undang Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu tidak berjaya.
Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009.
-- BERNAMA
#Duta Enclave #rayuan kerajaan #pemindahan hak milik tanah #Semantan Estate #terkini
;