Keputusan PRN Sabah beri keselesaan kepada kepimpinan Muhyiddin

Rahimah Abdullah
September 26, 2020 23:21 MYT
Keputusan PRN Sabah yang memihak kepada GRS memberikan sokongan dan keselesaan kepada kepimpinan Muhyiddin. - Gambar fail
Keputusan PRN Sabah yang memihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan sokongan dan keselesaan kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian menjelaskan, keputusan itu juga mampu mengembalikan kepercayaan mana-mana pihak yang sebelum ini memikirkan haluan berbeza.
"Saya rasa keputusan di Sabah ini akan memberikan satu 'boost' kepada kepimpinan Muhyiddin. Saya rasa tanpa keraguan, ia akan memberi 'boost'. Sekiranya GRS tidak berprestasi baik pada malam ini, ia akan menimbulkan kesangsian terhadap kepimpinan beliau.
Justeru katanya, keputusan itu menunjukkan haluan rakyat kepada GRS dan kepimpinan Muhyiddin.
"Pada beberapa hari lalu, kita mendengar desas-desus agak negatif beberapa pimpinan dalam kerangka kerajaan pusat.
"Jadi saya rasa dengan keputusan ini, pertama sekali, mereka yang memikirkan haluan berbeza mungkin kena go back to the drawing board," katanya dalam program Sabah Memilih di Saluran Astro AWANI 501 pada Sabtu.
BACA: LAPOR LANGSUNG: GRS menang 38 kerusi
BACA: PRN Sabah: Sorakan bergema bila Bung Moktar umum kemenangan
Walaupun masih terlalu awal, keputusan itu juga mampu meredakan ketegangan yang berlaku dalam kepimpinan di peringkat pusat.
"Mungkin terlalu awal, majoritinya cuma dua kerusi dan kita kena lihat bagaimana rundingan untuk pemilihan Ketua Menteri Sabah.
"Namun peringkat awal ini, ia memberi sedikit keselesaan kepada kepimpinan Muhyiddin dan Perikatan Nasional di peringkat pusat.
"Mungkin ia boleh tenangkan keadaan di peringkat pusat ini yang sebelum ini diganggu oleh desas-desus akan ada gabungan baru," ujarnya lagi.
#Astro #Astro Awani #HAPUSCOVID #Muhyiddin Yassin #PRNSABAH #SABAHMEMILIH