Keputusan PMR 2013: Bilangan calon lulus semua mata pelajaran menurun
Tan Su Lin
Disember 19, 2013 11:16 MYT
Disember 19, 2013 11:16 MYT
Pencapaian calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2013 pada keseluruhannya bertambah baik.
Antaranya pencapaian calon cemerlang iaitu calon yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat seramai 514 calon atau 0.41 peratus daripada 30,474 calon pada tahun 2012 kepada 30,988 calon pada tahun ini.
Bagaimanapun bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran iaitu minimum semua gred D menurun seramai 5,381 calon atau 1.38 peratus.
Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula bertambah dari 241 calon pada 2012 kepada 307 calon iaitu pertambahan sebanyak 66 calon.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Khair Mohamad Yusof yang mengumumkan analisis keputusan PMR itu berkata prestasi semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan kecuali Bahasa Melayu yang mencatatkan penurunan sebanyak 0.03 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) tahun ini.
"Peratusan calon yang mendapat gred A dalam mata pelajaran itu menurun sebanyak 0.5 peratus daripada 27.5 peratus pada 2012 kepada 27.0 peratus pada tahun ini. Peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred A, B, C dan D) juga menurun sebanyak 0.2 peratus daripada 94.4 peratus pada tahun 2012 kepada 94.2 peratus pada tahun ini." kata beliau.
Selain itu, prestasi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Ekonomi Rumah Tangga dan KHB-Perdagangan dan Keusahawanan juga menunjukkan penurunan.
Dalam pada itu, Khair berkata biarpun pencapaian calon bandar lebih baik calon luar bandar namun jurang pencapaian pada tahun ini semakin mengecil iaitu sebanyak 0.01 mata.
PMR tahun ini adalah yang terakhir sebelum digantikan dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah bermula 2014.