Keputusan PH guna satu logo parti itu berani, tapi berisiko - Ilham Centre
Firdaus Azil
Februari 28, 2018 19:11 MYT
Februari 28, 2018 19:11 MYT
Setiap komponen Pakatan Harapan perlu meyakinkan penyokong dan ahli masing-masing tentang keputusan menggunakan satu logo sahaja sewaktu pilihan raya umum akan datang, kerana ia dikhuatiri akan mengakibatkan kekeliruan.
Menurut penganalisis dari Ilham Centre, Hisomuddin Bakar walaupun ia satu keputusan yang berani untuk memastikan pertembungan dua bloc sahaja iaitu Barisan Nasional dan gabungan Pakatan Harapan, namun harus diingat akan ada kelompok masyarakat yang skeptikal dengan strategi itu, dan ia harus ditangani sebaik mungkin.
“Berani itu dalam konteks bagaimana mereka berdepan penyokong parti masing-masing untuk mereka yakinkan. Saya rasa untuk berdepan dengan senario itu, Pakatan Harapan sudah buat perkiraan, tentang faktor penyokong atau pengundi yang skeptikal untuk terima logo tertentu, mungkin agak minima dan PH boleh atasinya dengan membuat keputusan awal dalam pengumuman menggunakan mana-mana logo parti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Semalam, pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media, mengumumkan mereka mungkin terpaksa menggunakan satu logo daripada mana mana parti komponen sahaja dalam PRU akan datang.
Keputusan itu ekoran Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang masih lagi belum meluluskan pendaftaran nama Pakatan Harapan atas beberapa sebab teknikal.
Walaubagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata, keputusan tentang mana satu logo yang bakal digunakan masih belum dicapai, dan ia akan diumumkan secepat mungkin.
Sementara itu, Hisomuddin berkata, hanya ada dua parti sahaja yang sesuai digunakan iaitu logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Katanya lagi, logo DAP kurang sesuai digunakan memandangkan persepsi masyarakat bahawa parti itu didominasi satu kaum sahaja sudah lama tertanam, dan tidak menggambarkan realiti semasa politik.
#Amanah
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#DAP
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#politik
#PPBM