Keputusan pertukaran guru melalui eGTukar 6 Disember ini
Afiezy Azaman
November 24, 2021 11:15 MYT
November 24, 2021 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan pertukaran guru melalui eGTukar bagi tahun hadapan akan dikeluarkan pada 6 Disember ini.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, pemakluman itu kelak akan membolehkan guru-guru membuat persiapan yang sewajarnya.
“Di hujung penggal persekolahan ini, kami dapati ramai guru khususnya yang memohon pertukaran melalui eGTukar bertanya bilakah keputusan eGTukar akan dikeluarkan.
“Untuk makluman semua, kita akan keluarkan keputusan eGTukar untuk pertukaran tahun hadapan pada 6 Disember 2021, ini akan memberi peluang kepada guru-guru membuat persiapan yang sewajarnya,” katanya di laman Facebook beliau pada Rabu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini telah menambah baik urusan pertukaran guru dengan mengguna pakai sistem eGTukar yang membenarkan permohonan dibuat secara berterusan berbanding hanya dua kali setahun, sebelum ini.
Menerusi sistem itu, pertukaran guru akan dilakukan berasaskan pada kekosongan di negeri-negeri lain dan bukan hanya tertumpu di negeri yang dipohon.