Keputusan perletakan jawatan Datuk Azhar Hamid perlu dihormati - MRT Corp

Azyyati Ahmad
Ogos 20, 2014 07:15 MYT
Keputusan perletakan jawatan CEO MRT Corp dipandang sebagai satu tindakan yang amat tinggi nilai integritinya
Rata-rata orang ramai di sosial media terutamanya tidak bersetuju dengan perletakan jawatan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid serta merta sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit (MRT) Corp pada Selasa.
Namun menurut Pengarah Strategik Komunikasi dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak, keputusan tersebut harus dihormati semua pihak.
Sebagai salah seorang pihak pengurusan tertinggi di dalam syarikat MRT Corp, Amir berkata, keputusan tersebut dipandang sebagai satu tindakan yang amat tinggi nilai integritinya.
“Keputusan beliau perlu dihormati kerana itu bukanlah keputusan yang mudah.
Keputusan ini juga membuktikan bahawa Azhar mempunyai rasa tangunggjawab yang tinggi dengan apa yang telah berlaku” kata Amir ketika dihubungi Astro AWANI.
Azhar mengumumkan perletakan jawatannya susulan kemalangan kemalangan di tapak kerja landasan MRT di Kota Damansara yang meragut nyawa tiga pekerja warga Bangladesh pada Isnin.
Amir yang pernah bekerja bersama dengan Azhar sejak dari tahun 2008 yakin bahawa keputusan yang diambil bekas CEO itu adalah satu keputusan tanpa desakan.
“Azhar sendiri ada berbincang dengan saya sebelum membuat keputusan meletak jawatan dan saya tidak terkejut serta yakin keputusan ini diambil tanpa desakan mana-mana pihak” jelas Amir lagi.
Tambah Amir, tindakan Azhar dilihat bakal menjadi satu penanda aras yang tinggi kepada pihak kepimpinan tertinggi yang lain di Malaysia.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Azhar menyatakan bahawa beliau telah gagal dalam memastikan keselamatan pekerja dan mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai CEO MRT Corp.
Walau bagaimanapun, Azhar akan kekal menjadi pemerhati dalam proses siasatan insiden ini sehingga keputusan dicapai.
Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp dipangku oleh Haris Fadzilah Hassan, yang ketika ini merupakan Pengarah Perhubungan Pelabur dan Pengurusan Tanah.
Siasatan awal mendapati kontraktor yang terlibat tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) keselamatan secara menyeluruh, mengakibatkan kehilangan nyawa pekerja-pekerja berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar pula berkata, dalam tempoh seminggu, MRT Corp serta JKKP akan mengemukakan laporan masing-masing.
#Amir Mahmood Razak #Azhar Abdul Hamid #MRT Corp #Pengarah Strategik Komunikasi dan Perhubungan Awam MRT Corp
;